KLUSTER PEMBANGUNAN PROFESIONAL & ETIKA

Kluster Pembangunan Profesional dan Etika (KPPE) berperanan sebagai sebuah pusat kecemerlangan bagi pelbagai program yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para penjawat awam berkaitan aspek kepimpinan dan pengurusan serta peranan dan keupayaan dalam mencapai kecemerlangan organisasi khususnya bagi sektor awam di Malaysia.


Menyedari akan kepentingan aspek kepimpinan dalam melahirkan penjawat awam yang kompeten dan berdaya saing, program dan kursus yang ditawarkan oleh KPPE telah direkabentuk serta dibangunkan untuk memperkasa elemen kepimpinan dan jatidiri di samping melengkapkan penjawat awam dengan budaya unggul bagi menghadapi cabaran baharu dalam bentuk permintaan dan ekspektasi yang semakin meningkat daripada rakyat dan pihak berkepentingan.


Visi KPPE adalah untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan kepimpinan sektor awam yang unggul dengan misi untuk membangunkan pemimpin sektor awam bertaraf dunia yang profesional, beretika dan berjiwa rakyat. Justeru, program di bawah KPPE adalah bertujuan untuk meningkatkan kompetensi kepimpinan penjawat awam menerusi latihan, seminar dan juga kursus-kursus dianjurkan.


Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN merupakan salah sebuah program latihan yang dilaksanakan oleh KPPE untuk melengkapkan bakal Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dengan pengetahuan yang jitu, kemahiran serta kompetensi dari aspek teori mahupun praktikal dalam bidang pengurusan awam.