PENGENALAN

Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) INTAN merupakan satu kursus mandatori yang dilaksanakan semenjak tahun 1977 lagi khusus bagi melahirkan para Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang memiliki komitmen, pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang tinggi dalam bidang pengurusan awam.

Pelaksanaan kursus ini telah mengalami evolusi serta perubahan dari segi tempoh pelaksanaan dan pengendalian (iaitu 12 bulan, 9 bulan dan 6 bulan) bermula dari tahun 1977 sehingga kini selaras dengan kehendak pemegang taruh dan transformasi perkhidmatan awam.

Sejajar dengan transformasi perkhidmatan awam negara dan pengukuhan INTAN sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Latihan Kerajaan dan Kepimpinan Sektor Awam yang berperanan dalam membangun dan membentuk modal insan yang kompeten, dinamik serta progresif, pelaksanaan serta kurikulum kursus DPA INTAN telah disemak semula dan ditambahbaik untuk membangunkan sebuah kursus latihan disiplin bagi bakal pegawai PTD.

Justeru, mulai tahun 2015, kursus Diploma Pascasiswah Pengurusan Awam (DPA) INTAN telah dibangunkan dan dilaksanakan oleh INTAN kepada peserta Kadet PTD. Modul-modul yang ditawarkan dalam kursus DPA telah dirangka dengan teliti serta terperinci kerana ianya merupakan sebuah kursus khas yang dibangunkan secara komprehensif khusus untuk melahirkan bakal-bakal pemimpin masa hadapan yang kompeten, mempunyai personaliti unggul dan mampu memacu perkhidmatan awam negara ke puncak kecemerlangan. Kursus DPA INTAN telah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkuat kuasa pada 30 Disember 2015.

Kursus ini berkonsepkan latihan menyeluruh yang berteraskan peningkatan profesionalisme peserta dengan memberi penekanan kepada enam(6) elemen utama dalam pembentukan peribadi serta jati diri yang dinamakan AKSARA iaitu Attitude (Sahsiah), Knowledge (Pengetahuan), Skills (Kemahiran) , Adaptability (Kebolehsesuaian), Resilience (Daya Tahan) dan Agility (Ketangkasan) yang diterjemahkan melalui dua bidang pembelajaran iaitu Kurikulum dan Ko- Kurikulum. Kurikulum kursus DPA INTAN merangkumi tiga komponen utama iaitu Komponen Akademik (Teori dan Praktikal), Komponen Integrasi Nasional dan Pengukuhan Diri serta Komponen Kepimpinan dan Kemahiran Interpersonal. Manakala bidang Ko-Kurikulum pula didukung oleh enam exco yang melaksanakan program/aktiviti yang dirancang serta dikelolakan oleh peserta sepenuhnya merangkumi Exco Profesional, Exco Sukan, Exco Kesenian dan Kreativiti, Exco Kerohanian dan Integrasi, Exco ICT dan Penerbitan serta Exco Kebajikan.

Kursus DPA dilaksanakan selama sepuluh bulan secara sepenuh masa di INTAN dan dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam INTAN.